President’s Message

Pr. Nelson G. Bendah

Pr. Nelson G. Bendah, Seventh-day Adventist Mission of Sabah, President.

Salam sejahtera dan selamat Tahun Baru 2019!
 
Pada tahun ini tema kita ialah “Kesetiaan Kepada Para nabi-Nya” Kalau kita perhatikan pada zaman dahulu (Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru) dalam Alkitab, Tuhan mempunyai mesej untuk umatNya dan Dia mahu menyampaikannya melalui para nabi dan rasul-Nya. Roh Nubuat mengatakan “Pada zaman dulu Allah berbicara kepada manusia dengan mulut nabi-nabi dan rasul-rasul. Pada zaman ini Ia berbicara kepada mereka dengan kesaksian-kesaksian Roh-Nya” CC 197. Sudah tentu pada zaman ini Tuhan mempunyai mesej/nasihat untuk kita semua dan Dia ingin menyampaikan kepada kita melalui “kesaksian-Nya”. Firman Tuhan berkata, “Maka marahlah naga itu kepada perempuan itu, lalu pergi memerangi keturunannya yang lain, yang menuruti hukum-hukum Allah dan memiliki kesaksian Yesus” Wahyu 12:17. “Apakah “Kesaksian Yesus” itu? Alkitab berkata “… janganlah berbuat demikian! Aku adalah hamba, sama dengan engkau dan saudara-saudaramu, yang memiliki kesaksian Yesus. Sembahlah Allah! Karena kesaksian Yesus adalah roh nubuat” Wahyu 19:10. Dalam ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa “kesaksian Yesus” itu ialah “roh nubuat” dan roh nubuat itu ialah mesej Tuhan yang Dia ingin sampaikan kepada kita pada zaman ini melalui tulisan-tulisan Ellen G White. Mengikut catatan sejarah, perjalanan kehidupan umat Tuhan telah dicatat sebanyak tujuh kali dalam Alkitab iaitu 2 kali dalam buku Daniel dan 5 kali dalam buku Wahyu. (1 masa, 2 masa dan ½ masa atau 1260 hari atau 42 bulan). Dalam tempoh ini disebut sebagai zaman kegelapan kerana umat-umat Tuhan yang setia disiksa dengan kejam. Iblis bersama dengan agen-agennya berusaha menganiaya umat Tuhan dan berusaha memusnahkan kebenaran Tuhan, namun Tuhan telah melindungi umat-umatNya yang setia. Iblis tidak berjaya memusnahkan umat Tuhan dan kebenaran firman Tuhan dalam period tersebut. Walaupun Iblis gagal dia tidak pernah putus asa. Sekarang ini dia berusaha menyerang umat Tuhan yang benar (umat yang sisa) kerana mereka memiliki kesaksian Yesus dan menuruti hukum-hukum Tuhan. Walau apapun cabaran yang bakal kita hadapi pada masa akan datang marilah kita tetap setia kepada Tuhan yang sudah kita kenal melalui Alkitab dan tulisan Roh Nubuat. Oleh itu, pada tahun 2019 ini kita sebagai umat Tuhan di seluruh dunia dipanggil untuk bersatu dalam pembacaan, mempelajari, menghayati, menuruti apa yang tertulis atau nasihat Tuhan dalam buku-buku roh nubuat dan membawa perkhabaran injil/Roh Nubuat ini melalui percetakaan dengan menjadi LE sesuai dengan tema tahun ini iaitu “Kesetiaan Kepada Para Nabi-Nya”. Kiranya dengan pembacaan tulisan-tulisan roh Nubuat akan menjadikan suatu kebangunan dan pembaharuan rohani dalam kehidupan kita. Selamat bersama dengan Tuhan melalui DOA dan PEMBACAAN buku Roh Nubuat!
 
Salam Agape
 
Pr Nelson G Bendah
Presiden, Seventh-day Adventist Mission of Sabah