Blog

Laporan Pelayanan Penjara ~ Oleh Lyddia Lewald

September 29, 2015 • By • in News

FaithSaya telah mulakan pelayanan penjara pada 2007. Sejak 2013 saya telah tumpuhkan pelayanan penginjilan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik atau PUSPEN yang terletak di Papar, Sabah. Penghuni pusat itu bertukar setiap 10 bulan. Seramai 400 penghuni semuanya pada satu-satu masa namun hanya lebih kurang 40 sahaja merupakan bukan Islam. Mereka terdiri daripada pelbagai denominasi Kristian, dan mereka inilah sasaran pelayanan ini.

Pelayanan Penjara adalah dilaksana dan dianjurkan oleh Prison Fellowship Malaysia dibawah pimpinan Pastor Prem Kumar. Penyelaras bagi Pelayanan Penjara di Sabah pula ialah Pastor Edmund Kumar. Saya terhutang budi kepadanya kerana membenarkan saya untuk menjalankan pelayanan dan memberi kepercayaan kepada saya menjadi seorang ahli komiti dalam Pelayanan Penjara Malaysia yang berpangkalan di Sabah.

Pada kita ini, terdapat 80 penghuni di PUSPEN yang sedang kami layani dan kongsikan berita baik keselamatan. Semua denominasi diberi kebenaran untuk melawat dan mengajar mereka tetapi dengan syarat – harus komited dan dedikasi.

Sebelumnya saya kongsikan segala sesuatu yang baik dari Alkitab. Tetapi pada bulan Februari tahun ini, saya mempunyai suatu tekad bahawa saya harus mengajar mereka doktrin-doktrin Alkitab dan Nubuatan Alkitab, dan itulah yang saya lakukan. Walau bagaimanapun, terdapat satu masalah. Saya bertanya, bagaimana caranya saya dapat menjangkau mereka secara efektif? Hanya sebuah mikrofon sahaja yang disediakan di tempat kebaktian. Saya perlukan projektor LCD! Saya berdoa dengan sungguh-sungguh setiap kali terfikir tentang hal itu. Akhirnya, tercetus suatu idea. Saya meminjam LCD projektor gereja di Country Heights. Saya menggunakanya untuk mengajar doktrin-doktrin Alkitab setiap malam hari Selesa dan Nubuatan Alkitab setiap hari Khamis malam. Kaedah mengajar sedemikian merupakan cara yang efektif dan berkesan untuk mendekati penghuni-penghuni pusat pemulihan itu.

Puji dan segala kemuliaan kepada Tuhan kerana kini 4 orang sudah bersedia untuk dibaptiskan, 3 adalah dari denominasi Kristian yang lain dan seorang bekas anggota Advent. Saya percaya beberapa lagi yang lain akan tampil ke depan untuk menerima Yesus dalam masa yang terdekat.

Dengan penuh kesyukuran kepada Tuhan, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Puan Helen Gulfan, Pengarah Pelayanan SSD kerana menyalurkan dana untuk membeli Alkitab dan bahan-bahan pelajaran bagi penghuni-penghuni PUSPEN. Terima kasih juga kepada Puan Jupitah Gaban-Lim atas sokongan, dorongan dan doa-doanya.

Saya juga ingin merakamkan ucapan ‘terima kasih’ istimewa kepada Bendahari Sabah Mission, Mr Lim See Him, kerana membekalkan sebuah Projektor LCD bagi kegunaan Pelayanan Penjara.

Sekian, Tuhan memberkati.

 

0 Comments